CARI TAJUK

Isnin, 19 Ogos 2013

TEKNIK-TEKNIK PERSAMPELAN

TEKNIK-TEKNIK PERSAMPELAN

Pengenalan

-Sampel merupakan bukti audit yang dikaji dengan mendalam supaya kesimpulan
ke atasnya dapat dijadikan asas untuk mengeluarkan laporan audit Bukti-bukti yang dikumpulkan melalui ujian-ujian yang dijalankan hendaklah mencukupi dan munasabah supaya juruaudit dapat bersandar padanya di dalam membuat laporan audit. Juruaudit tidak melakukan pemeriksaan ke atas semua maklumat yang sedia ada kerana beliau dapat membuat kesimpulan mengenai baki akaun, kelas-kelas akaun dan transaksi serta system kawalan dalaman syarikat melalui ujian ke atas sampel
Definisi
Secara umum
-Ditakrifkan sebagai satu proses memperoleh maklumat tentang ciri-ciri populasi
yang terdiri daripada butiran melalui pemeriksaan terhadap sebahagian daripada
butiran populasi tersebut
Persampelan Audit

-Satu pelaksanaan tatacara pematuhan dan tatacara penyokongan terhadap
butiran yang kurang daripada seratus peratus

-Dalam bentuk baki akaun atau kelas-kelas urusniaga

-Juruaudit dapat memperoleh bukti audit dan menilainya bagi sesuatu ciri untuk
membuat kesimpulan tentang ciri-ciri tersebut

-Pelaksanaan 100% perlu jika : -
Mengaudit bahagian yang melibatkan bilangan yang kecil tetapi penting
Mengaudit bahagian yang mempunyai kepentingan khusus
Mengaudit perkara-perkara luar biasa
Menghadapi keadaan yang membawa kecurigaan kepada juruaudit

Istilah-istilah

1. Risiko persampelan

-Risiko atau kemungkinan juruaudit membuat kesimpulan berdasarkan
persampelan mungkin berbeza dari kesimpulan yang dicapai dari ujian 100% ke
atas populasi

2.Risiko bukan persampelan
-Kemungkinan perancangan yang tidak teratur
-Pemilihan prosedur audit yang tidak tepat
-Membuat kesilapan semasa memeriksa dokumen
-Kesilapan semasa melaksanakan prosedur
3.Kesilapan dan kesilapan boleh terima

-Kesilapan : kawalan penyimpangan semasa mengadakan ujian kawalan atau
salah nyataan dalan transaksi atau baki akaun

-Kesilapan boleh terima : kadar kawalan penyimpangan maksimum yang mana
juruaudit boleh terima dan prosedur kawalan masih boleh dipercayai

4. Unit persampelan

-Item individu dalam populasi

Jenis-jenis Persampelan

1.Persampelan Pertimbangan

-Semakin kecil ralat tertanggung, semakin besar saiz sampel yang diperlukan
oleh juruaudit

2. Ketepatan

-Darjah kebolehpastian andaian bahawa kadar ralat dalam sampel wujud secara
berkadar dengan populasi secara keseluruhannya

3. Tingkat keyakinan

-Tahap kepercayaan juruaudit yang menjangka bahawa ciri populasi yang sedang
dipertimbangkan terletak dalam had ketepatan yang ditentukannya Merupakan ukuran yang menunjukkan setakat mana juruaudit mempertahankanbuntuk mempercayai bahawa sampel yang dipilih menggambarkan ciri-ciri populasi yang diwakilinya.

Pemilihan Sampel

-Saiz sampel dipilih biasanya dalam bentuk bilangan item atau peratusan
daripada jumlah populasi

-Saiz sampel hanya akan bertambah sedikit walaupun saiz populasi bertambah dengan banyak
-Beberapa kaedah pemilihan secara rawak:
1.Menggunakan jadual angka rawak
-Pemilihan melalui satu jadual yang menyenaraikan semua item yang akan dipilih
secara rawak
-Kaedah ini dapat menghindarkan pengaruh sikap peribadi seperti
pendapat,kepercayaan dan pengalaman semasa prosess pemilihan
2.Secara bersistematik dan berjarak
-Berasaskan kaedah ini,butiran dipilih daripada populasi dengan mengambil satu
item daripada populasi pada jarak yang seragam diantara satu item yang dipilih
dengan yang lain

3. Secara berstrata

-Kaedah ini sesuai digunakan apabila populasi yang diperiksa itu dibahagi kepada
beberapa strata atau peringkat yang akan diuji secara berasingan

4. Secara berkelompok

-Kaedah ini sesuai jika maklumat yang akan diperiksa disimpan mengikut
kumpulan-kumpulan tertentu
-Kaedah ini sesuai sekiranya populasi yang terlibat dalam pemeriksaan adalah
banyak dan berselerak
-Ia lebih berkesan sekiranya maklumat untuk semua kumpulan itu adalah sama
dan setiap kumpulan mengandungi berbagai-bagai maklumat yang berkaitan

5. Menggunakan computer

-Sesuai digunakan sekiranya maklumat yang terlibat untuk dipilih banyak
Kebaikan teknik persempelan

1. Menjimatkan masa
2.Mengurangkan prosedur yang merumitkan
3.Berkesan untuk pengauditan item-item yang banyak
4.Pemilihan sampel terhadap item-item penting
5.Perkara luar biasa dalam populasi dapat diberi perhatian
Keburukan teknik persampelan
1.Wujud salah nyata
2.Sesetengah item tidak dapat diaudit
3.Bukti audit yang didapati mungkin meragukan
4.Hanya ikut pertimbangan juruaudit untuk memilih sampel
5.Risiko mungkin tidak dapat dikesan


WESTON, PEKAN JALAN MATI

PROGRAM ANAK ANGKAT DAN AKTIVITI PENGUMPULAN DATA DI PEKAN WESTON, BEUFORT SABAH

WESTON, PEKAN JALAN MATI

Weston merupakan sebuah kawasan di daerah Beufort dimana hampir 80% penduduknya merupakan nelayan pinggir pantai. Seramai 84 orang mahasiswa dan mahasiswi Universiti Malaysia Sabah (UMS) diiringi oleh tiga orang pensyarah telah menjalankan suatu penyelidikan mengenai aktiviti pelancongan di kawasan tersebut. Sebelum bertolak ke kawasan kajian, kesemua mahasiswa dan mahasiswi berserta pensyarah berkumpul di foyer Sekolah Sains Sosial bagi mendapatkan beberapa taklimat berhubung aktiviti yang akan dijalankan. Satu kejutan kepada kami dimana mahasiswa dan mahasiswi akan diberi kepada keluarga angkat. Perasaan teruja terpapar di wajah setiap mahasiswa dan mahasiswi kerana perkara ini tidak dilaporkan sebelum ini. Selepas mendengar taklimat dari pensyarah, kesemua 84 mahasiswa dan mahasiswi bertolak dari UMS pada jam 9.30 pagi menggunakan dua buah bas.

Semasa perjalanan ke Weston, dapat diperhatikan pelbagai landskap guna tanah di sepanjang jalan ke destinasi. Kawasan berpaya, hutan renek, kawasan perladangan dan pertanian serta kawasan perumahan adalah beberapa landskap guna tanah yang terdapat di sepanjang perjalanan kami. Hampir satu jam setengah perjalanan, kami berhenti di Papar untuk bersarapan. Setelah selesai bersarapan, kami meneruskan perjalanan ke destinasi yang ingin dituju dan kami tiba di pekan Beufort pada pukul 12 tengahari. Pekan Beufort mrupakan sebuah kawasan yang sedang membangun dimana terdapat pelbagai kemudahan bagi penduduk kawasan tersebut. Terdapat landasan kereta api dari Kota Kinabalu menghubung ke Beufort di kawasan tersebut. Dapat disimpulakn bahawa system perhubungan di kawasan ini memuaskan dan membantu penduduk sekitar.

Setelah melalui pekan Beufort, kami melintasi jambatan yang merintangi Sungai Padas. Sungai yang agak lebar dilintasi dengan lancar disebabkan jambatan yang dibina dalam keadaan yang baik. Air sungai yang mengalir tenang kelihatan agak keruh dan ini menandakan bahawa terdapat aktiviti di hulu sungai yang menjadi punca kepada kekeruhan air sungai tersebut. Setelah melintasi jambatan Sungai Padas dengan selamat, kami meneruskan perjalanan sehingga menjumpai satu papan tanda yang tertulis “WESTON” yang menandakan perjalanan kami ke destinasi sudah hampir. Setelah memasuki simpang ke Weston, kami dihidangi pemandangan kampung yang sangat berbeza dengan perkampungan di Semenanjung Malaysia. Keadaan atau struktur pembinaan rumah di sekitar kampung sangat menarik.

Setelah hampir tiga jam perjalanan, kami tiba di pekan Weston. Kehadiran kami disambut oleh penduduk kampung. Penduduk kampung bukan sahaja menunggu kehadiran kami malah menunggu kehadiran ahli parlimen Putatan yang turut hadir bagi memeriahkan program anak angkat dan aktiviti komuniti 1 Malaysia. Aktiviti tersebut terut mendapat liputan dari Radio Television Malaysia (RTM). Sebelum ketibaan ahli parlimen tersebut, kami diberi taklimat mengenai program anak angkat oleh penyelaras program. Setelah taklimat selesai, kami dibahagi-bahagikan kepada keluarga angkat masing-masing secara tidak rasmi. Setelah berkenalan dengan keluarga angkat, saya bersama rakan saya menuju ke kediaman Pak Zabidi. Kami menuju ke rumahnya menggunakan lori dan kami saling berkenalan dengan bapa angkat kami tersebut di dalam lori. Semasa menuju ke kediaman Pak Zabidi, kelihatan beberapa buah rumah atas air yang sangat menarik perhatian saya. Ini menyebabkan saya teruja dan lebih ingin mengenali kawasan Weston dengan lebih dekat.

Setibanya di kediaman Pak Zabidi, saya dan rakan saya disambut dengan meriah oleh Pak Zabidi sekeluarga. Kami saling berkenalan dan dihidangkan dengan makanan tengahari. Setelah selesai menjamu selera, kami pergi melawat jambatan yang baru dibina bernilai 15 juta ringgit di sekitar perkampungan atas air seterusnya kami bertolak semula ke pekan Weston bagi majlis perasmian program anak angkat dan aktiviti komuniti 1 Malaysia oleh ahli parlimen kawasan tersebut. Setelah selesai, kami diberikan beberapa taklimat mengenai pengedaran soal selidik oleh pensyarah. Setelah selesai, kami menjalankan aktiviti pangumpulan data di sekitar kawasan pekan Weston dan Kampung Weston. Saya dapat menemubual Ketua Puteri UMNO bahagian Weston dan mendapat maklumat yang dapat menjawab keseluruhan soal selidik. Terdapat mahasiswa dan mahasiswi menyertai aktiviti sukaneka bersama penduduk kampung.

Setelah selesai makan malam di rumah Pak Zabidi, saya dan rakan bersama Pak Zabidi sekeluarga menuju ke dewan orang ramai bagi melihat rakaman dari pihak RTM tentang adat budaya perkahwinan masyarakat Brunei. Pelbagai persembahan dan adat istiadat dipersembahkan semasa lakonan perkahwinan dijalankan. Setelah selesai rakaman tersebut, hadirin dijamu dengan persembahan kesenian tarian, aktiviti karaoke, cabutan bertuah dan permainan tradisi main bubu. Permainan ini amat mengujakan saya kerana mainan ini terdapat penerapan unsur mistik. Bubu yang dihias seperti seorang wanita dipegang oleh beberapa orang pemain akan melompat-lompat mengikut irama paluan kompang. Permainan seperti ini jarang-jarang sekali kelihatan di Semenanjung Malaysia dan merupakan pengalaman yang tidak dapat saya lupakan. Semasa aktiviti tersebut berlangsung, saya berkesempatan menemubual penduduk tempatan bagi memenuhi soal selidik. Keramahan penduduk tempatan memudahkan kami mengumpul data dalam penyelidikan ini. Pelbagai sejarah dan kisah di kawasan Weston diceritakan oleh penduduk tempatan.

Setelah selesai majlis tersebut, kami menuju ke kediaman keluarga angkat masing-masing. Terdapat rakan-rakan yang menghadiri majlis kanduri di kawasan berdekatan. Saya dan rakan meneruskan perjalanan ke rumah Pak Zabidi dan ingin berehat setelah hampir sehari sibuk dengan aktiviti. Menceritakan pengalaman merasai makanan masyarakat Brunei, tidak dinafikan bahawa makanan masyarakat ini lebih kepada makanan hasil laut seperti udang dan ikan. Menurut Pak Zabidi, makanan laut yang terkenal di Weston ialah keenakkan udang galah yang mudah didapati di kawasan Weston. Kami terlepas peluang untuk mengikuti tawaran Pak Zabidi bersama anaknya lelakinya turun menangkap udang kerana kami kesuntukan masa.

Keesokkan paginya, saya dan rakan bersama Pak Zabidi dan adiknya ke kawasan resort berdekatan bagi melihat monyet belanda dan kawasan sekitar resort. Setibanya kami disana, mata saya mencari-cari kelibat monyet yang sukar-sukar dijumpai di semenajung Malaysia. Namun hasrat saya itu tidak berhasil kerana difahamkan monyet belanda sangat pemalu dan mengelakkan diri dari bertemu manusia. Adik Pak Zabidi yang mengambil jala di belakang lori dan menebarkan jalanya di tepi sungai. Hasil yang diperoleh agak memuaskan dimana terdapt beberapa ekor udang galah terperangkap di dalam jala tersebut. Sungai Weston memang kaya dengan udang galah dan hasil laut yang lain. Nelayan kebanyakkannya menangkap udang di kawasan muara tersebut. Hasil dijual kepada orang tengah dan dipasarkan ke seluruh pekan Beufort malah sampai ke Kota Kinabalu. Terdapat pelancong yang datang ke Weston untuk menduga udang di kawasan tersebut. Aktiviti memancing turut dijalankan dan menjadi hobi penduduk tempatan. Kawasan tepian sungai tersebut turut menjadi habitat kunang-kunang yang tinggal di pokok-pokok bakau di tepian sungai.

Setelah puas mengutip udang yang dijala, kami meneruskan perjalanan ke pekan Weston dimana aktiviti gotong-royong bersama penduduk kampung akan dijalankan. Walau bagaimanapun, aktiviti itu dibatalkan disebabkan terdapat masalah-masalah yang tak dapat dielakkan. Masa yang terluang digunakan oleh kami bagi menyelesaikan tugasan pengumpulan data. Saya yang sudah selesai dengan tugasan tersebut mengikut pelawaan pensyarah untuk menaiki bot mengelilingi sungai Weston dan melihat kawasan persisiran sungai. Pelawaan tersebut tidak dilepaskan, saya dan rakan-rakan menuju ke jeti dan menunggu giliran unuk menaiki bot. Sementara menunggu giliran, saya singgah ke rumah seorang wanita yang sedang membersihkan ikan untuk dijadikan sebagai ikan kering. Rumahnya yang terletak diatas air menarik perhatian saya. Setelah puas beramah mesra, saya kembali ke jeti untuk menaiki bot.

Perasaan gementar memang terasa apabila ini merupakan kali pertama saya menaiki bot tambahan pula tiada jaket keselamatan yang disediakan. Walau bagaimanapun, perasaan tersebut hilang setelah melihat persisiran tepian sungai yang dipenuhi pokok nipah dan bakau. Kelihatan nelayan sedang khusyuk melepaskan jaring ke dasar sungai bagi menangkap udang. Menurut pemandu bot, ketika waktu malam, pokok bakau akan dipenuhi dengan kunang-kunang. Selain monyet belanda, kunang-kunang turut menjadi tarikan para pelancong dalam dan luar negara. Ketika sibuk penungkah arus, mata saya tertumpu kearah dahan bakau dimana kelihatan seekor monyet belanda sedang bergayut. Setelah mendengar deruan enjin bot, monyet tersebut terus melarikan diri seperti mana kata Pak Zabidi bahawa monyet belanda merupakan haiwan yang pemalu. Selain itu, sungai tersebut turut menjadi habitat buaya.

Setelah puas menjelajah sungai Weston, saya dan rakan pulang ke rumah keluarga angkat untuk melakukan persiapan pulang ke kolej. Sebelum saya dan rakan pergi mengemas barang-barang untuk pulang, kami sempat menunggang beca kepunyaan anak Pak Zabidi mengelilingi kampung. Perkara melucukan terjadi apabila beca yang ditunggang oleh rakan hilang kawalan menyebabkan kami terjatuh ke dalam paya. Itu merupakan pengalaman lucu yang tidak dapat dilupakan oleh saya dan rakan. Makan tengahari kami pada hari itu sangat istimewa kerana kami dijamu dengan sambal udang galah yang dijala pada pagi tadi. Sangat sedap apabila menjamu udang yang segar ditangkap di sungai.
Setelah barang-barang selesai dikemas, saya dan rakan pergi berjumpa dengan Pak Zabidi sekeluarga dan saling salam bersalaman tanda perpisahan. Perasaan sebak dan terharu bermain di dalam perasaan. Keluarga Pak Zabini menemani kami ke tempat berkumpul dan setibanya kami ke situ, kelihatan keluarga angkat yang lain telah berkumpul bersama anak angkat masing-masing. Hujan turun seperti tidak merestui perpisahan kami. Walaubagaimanapun, setiap yang bertemu tetap akan beerpisah. Kami berkumpul dan bergambar bersama keluarga angkat masing-masing. Setelah selesai, kami bertolak ke bas masing-masing dan destinasi seterusnya ialah Sipitang dimana popular dengan satenya yang sedap.

Setibanya di Sipitang, kami menuju ke gerai-gerai di tepian laut yang menjual sate. Kawasan Sipitang agak membangun seperti kawasan Beufort. Kelihatan beberapa buah kapal kargo berlabuh di kawasan perairan kawasan Sipitang. Setelah selesai menjamu selera di gerai berdekatan, kami meneruskan perjalanan di dataran berhampiran laut untuk bergambar sebagai kenang kenangan. Kawasan perairan kelihatan agak tercemar mungkin disebabkan oleh aktiviti perkapalan dan pengaliran air kumbahan ke laut. Dapat dilihat beberapa paip atau saliran yang mengalirkan air tercemar dari Bandar berdekatan ke dalam laut. Keadaan ini sepatutnya tidak berlaku kerana kawasan tersebut merupakan kawasan tumpuan pelancong.

Setelah puas bergambar, kami meneruskan perjalanan pulang. Suasana hujan mengiringi perjalanan kami. Walau pun agak keletihan, perasaan gembira tetap kelihatan di wajah kami berpeluang mengikuti program ini. Disamping menjalankan proses pengumpulan data, kami turut dapat beramah mesra bersama penduduk kampung terutama keluarga angkat yang tidak henti-henti membantu kami dalam proses mendapatkan data. Terasa tempoh masa dua hari satu malam bersama keluarga angkat tidak mencukupi kerana terdapat pelbagai tempat yang menarik di sekitar kawasan Weston tidak dapat dijelajahi. Walau bagaimanapun, data yang dikumpul diharapkan dapat menjadi titik tolak kepada pembanggunan kawasan Weston yang kaya dengan sejarah dan eko pelancongannya yang tersendiri. Memang tidak dinafikan, kawasan Weston merupakan kawasan yang mempunyai pelbagai tarikan pelancongan. Walau bagaimanapun, peluang atau tarikan tersebut tidak di kormesilkan ke peringkat luar. Diharapkan pihak kerajaan dapat membantu penduduk tempatan mengkormesilkan kawasan Weston sebagai lokasi pelancongn yang popular seperti kawasan pelancongan yang lain di Sabah disamping dapat membangunkan ekonomi Weston dan memajukan kawasan tersebut.


UNTUK TEMPAHAN HOMESTAY, SILA HUBUNGI : 013-8859086

Penentuan Jenis Tumbuhan dan Media Penurasan dalam Rawatan Air Kumbahan Domestik dengan Teknologi Paya Buatan

Penentuan Jenis Tumbuhan dan Media Penurasan dalam Rawatan Air Kumbahan Domestik dengan Teknologi Paya Buatan


Supli Effendi Rahim1, Hasimah Alimon2, Nurul Bahiyah Abd Wahid2, Jamin Barus3

ABSTRAK

Kajian ini bertujuan untuk menentukan jenis tumbuhan dan media penurasan bagi merawat air kumbahan domestik menggunakan kaedah eksperimen dengan teknologi paya buatan. Sampel air kumbahan yang digunakan dalam kajian ini diperolehi daripada Kolej Harun Aminurrashid, Universiti Pendidikan Sultan Idris. Lima parameter kualiti air telah diuji iaitu DO, BOD, TSS, pH dan kekeruhan, di mana ianya diuji pada hari ke lima dan hari ke sepuluh kajian. Hasil kajian didapati bahawa penuras jenis B iaitu medium penurasan yang diperbuat daripada dari kerikil, pasir, dan arang kayu menunjukkan kesan terbaik dengan menurunkan kekeruhan (86.5%), TSS (99%) dan BOD (35%), serta mampu menaikkan pH air daripada 4.44 kepada 6.33. Terdapat enam tumbuhan dikenalpasti dapat mengurangkan pencemaran setelah lima hari rawatan dijalankan, iaitu Crassula helmsiiPistia stratiotes, Kyllinga brevifolia, Limnocharis flava, Oryza sativa, dan Eichornia crassipes (Mart.). Setelah sepuluh hari rawatan dijalankan, terdapat 6 tumbuhan yang terbaik dalam merawat air tersebut iaitu Leersia hexandra Sw, Crassula helmsii, Eichornia crassipes (Mart.), Echinochloa colonum, Limnocharis flava dan Kyllinga brevifolia. Kesimpulannya, sistem rawatan menggunakan paya buatan ini mampu menurunkan kadar bahan cemar dari sisa kumbahan dengan efektif jika menggunakan tumbuhan yang lebih sesuai dan kaedah penurasan yang tepat.

SOROTAN LITERATUR

Pencemaran air menjadi satu masalah yang sering diperkatakan di seluruh dunia walaupun dewasa ini pelbagai teknologi canggih dalam rawatan air sedang diterokai. Kaedah rawatan yang dapat memberi kesan positif serta menggunakan kos yang lebih rendah perlu digunakan bagi menjamin kelestarian alam pada masa depan.
            Peranan paya semulajadi (natural wetland) sebagai kaedah rawatan air telah dikenalpasti dapat memberi impak yang baik kepada alam sekitar. Ia dibuktikan oleh beberapa penyelidik yang mengkaji keberkesanan kaedah paya semulajadi ini. Proses yang berlaku di dalam paya semulajadi ini, mencetuskan idea penciptaan paya buatan atau constructed wetland (CW) sebagai kaedah alternatif bagi merawat air. Paya buatan dibuat serupa dengan paya semulajadi dan ditanam dengan tumbuhan akuatik atau semi-akuatik. Air kumbahan diendapkan di paya buatan tersebut sebelum dilepaskan ke perairan umum (Khiatuddin, 2003).
            Air kumbahan domestik berasal dari penggunaan seharian di rumah seperti mencuci dan mandi. Air kumbahan dengan kandungan organik tinggi yang dialirkan terus ke sungai akan mengakibatkan kehilangan oksigen terlarut dalam jumlah yang besar untuk proses dekomposisi. Ini mengakibatkan sungai akan mengalami keadaan anaerobik.       
Alternatif rawatan air kumbahan domestik boleh dilakukan secara paya buatan (CW). Pemilihan CW adalah atas kemampuannya untuk merawat pelbagai air kumbahan dengan baik, mengurangi bahan pencemar seperti BOD, SS, patogen, nutrien dan logam berat (Pastor et al., 2002). Teknologi CW merupakan teknologi yang menggunakan tenaga yang rendah sebagai alternatif kepada penurunan nutrien dalam air dengan kos yang rendah untuk kumbahan industri, bandar dan kegiatan pertanian (Kadlec dan Knight, 1996 dalam Vymazal, 2002). Air kumbahan sebelum dialirkan ke CW perlu melalui rawatan pendahuluan untuk mengendapkan pepejal terampai supaya media tidak tersumbat dan tidak berlakunya aliran bawah permukaan (Vymazal, 2002). 
Prapa Sohsalam (2006) melaporkan bahawa tumbuhan air pada CW berskala kecil mampu menurunkan kadar BOD5 pada kumbahan makanan laut dengan kecekapan 94-99%. Kumbah rawatan hasil pertanian di Poggio Antico, Florence, Itali yang dirawat dengan CW aliran melintang (horizontal flow constructed wetland) berjaya menurunkan kadar COD, TSS dan Total Coli dengan kecekapan masing-masing 93%, 81% dan 99% (B. Pucci). Manakala Sariwahyuni (2006), melaporkan tumbuhan Eichhornia crassipes menyerap logam berat Pb dan Cd secara optimum pada hari ke-3, diikuti dengan penurunan pada hari ke-6 dan seterusnya ke hari ke-20.
            Beberapa tumbuhan lain yang berpotensi untuk digunakan dalam sistem paya buatan adalah seperti lalang (Imperata cylindrica (L.) Beauv.), sejenis rumput air yang boleh dimakan (Limnocharis flava), rumput paya (Leersia hexandra Sw), rumput padang kylinga (Kyllinga brevifolia), rumput padang (Axonopus compressus), rumput pahit (Paspalum conjugatum Berg), keladi air (Colocasia esculenta), (Crassula helmsii), rumput samba (Echinochloa colonum), tangki (Mimosa invisa Mart. Ex Colla), keladi bunting (Eichornia crassipes (Mart.)),  selom (Ooenanthe javanica), kangkung air (Ipomoea aquatica), kiambang (Pistia stratiotes), dan padi (Oryza sativa).
Sehingga kini belum banyak kajian dilakukan tentang tumbuhan yang terbaik dalam menurunkan kadar bahan pencemar pada air kumbahan domestik menggunakan teknologi paya buatan. Oleh itu, kajian ini memberi fokus kepada penentuan jenis tumbuhan dan media penurasan yang berpotensi dalam menurunkan kadar bahan pencemar dalam air kumbahan domestik dari sekitar Kampus Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Malaysia dengan teknologi paya buatan.

RUJUKAN

Effendi, H.. 2003. Telaah Kualitas Air. Kanisus. Yogyakarta
Khiatuddin, M. 2003. Melestarikan Sumber Daya Air Dengan Teknologi Rawa Buatan,    Gajah   Mada University Press, Jogjakarta
Pastor, R., C. Benqlilou., D. Pas., G. Cardenas., A. Espuña dan L. Puigjaner. 2003.           Design optimisation of constructed wetlands for wastewater treatment. Resources,   Conservation & Recycling. 37 pp.193-204.
Pucci, B., G. Conte., N. Martinuzzi., L. Giovanelli dan F. Masi. 1996. Design and             Performance   of A Horizontal Flow Constructed Wetlands for Treatment of  Dairy         and Agricultural Wastewater in The ”Chianti” Countryside.
Sariwahyuni. 2006.  Penjerapan Logam  Pb dan Cd  Pada Berbagai Kombinasi pH Larutan         Media  Tanam  dan  Lama  Penanaman  Gulma  Air  Enceng Gondok (Eichhornia   crassipes), dalam majalah Teknik Industri, volume           11, 19, Disember 2006.
Sohsalam, P., A.J. Englande dan S. Sirianuntapiboon. 2006. Effect of Plant Species on Microbial Groups and Pollutants Removal in Small Constructed Wetland,     makalah  konferensi International Conference on Environment, Penang, Malaysia, 2006.
Vymazal, J. 2002. The use of sub-surface constructed wetlands for wastewater treatment in the Czech Republic: 10 years experience. Ecological Engineering. 18 pp.633-646
Yuanita, C. 2003. Pengaruh variasi media tanam terhadap penurunan kandungan organik (PV) dan TSS pada rawatan efluen IPLT Keputih, Sukolilo Surabaya dengan      memanfaatkan tumbuhan cattail (Typha latifolia) menggunakan system   constructed wetlands. Tugas Akhir Jurusan Teknik Lingkungan ITS. Surabaya.

Jerebu : Fenomena pencemaran udara di Semenanjung Malaysia

Jerebu : Fenomena pencemaran udara di Semenanjung Malaysia

          Fenomena jerebu merupakan fenomena yang tidak asing lagi dan sering berlaku di semenanjung Malaysia. Jerebu adalah partikal-partikal atau zarah-zarah halus seperti debu, gas pencemar dan asap yang tidak nampak oleh mata kasar yang terampai di atmosfera dalam kepekatan yang tinggi(Borneo Post : 1997).  Fenomena jerebu yang sering berlaku di beberapa kawasan di semenanjung Malaysia bukan sahaja berlaku hasil daripada pencemaran udara di kawasan itu sendiri, tetapi membabitkan unsur dari negara jiran.(Shaharudin : 2006). Selain itu, kehadiran musim kering yang berpanjangan kesan daripada fenomena El-Nino dan amalan pembakaran terbuka di kawasan pertanian yang luas di Sumatera menjadi penyebab dan penggalak masalah jerebu di Malaysia(Norazuan Hashim: 2006).

Pada tahun 2005, Majlis Keselamatan Malaysia telah mengumumkan tentang pengisytiharaan darurat di beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia. Kawasan yang pernah diisytiharkan darurat ketika berlakunya masalah jerebu ialah Lembah Klang, Kuala Lumpur, dan Hulu Selangor(Sautun Nhadhah: 2005). Keadaan ini berlaku kerana bacaan Indeks Pencemaran Udara kelebihi bacaan 500 iaitu mencapai tahap berbahaya(Shafinaz; 2005). Memang tidak dinafikan bahawa pelepasan gas dari kenderaan, perindustrian, dan pelupusan sisa pertanian menjadi punca utama kepada berlakunya masalah jerebu. Namun masalah ini turut berlaku akibat pencemaran merentasi benua.

Selain itu, fenomena semulajadi turut menjadi penyumbang kepada berlakunya fenomena jerebu di semenanjung Malaysia.(Sautun Nhadhah: 2005). Tiupan angin umpamanya akan memindahkan bahan-bahan terampai tersebut ke kawasan lain. Ini dapat dibuktikan dimana tiupan angin monsun telah memindahkan jerebu dari kawasan selatan semenanjung ke kawasan utara iaitu di Pulau Pinang (Sautun Nhadhah: 2005). Masalah jerebu turut memberi kesan kepada aktiviti manusia, ekosistem alam sekitar dan turut mempengaruhi psikologi seseorang seperti kemurungan, kekurangan tenaga, tiada motivasi untuk melakukan sebarang aktiviti, rasa cemas dan takut, masalah tidur, lebih cepat naik marah, dan masalah selera makan.(Teoh Hsien Jin: 2008). Selain itu, masalah jerebu turut menjejaskan ekonomi Malaysia (Shaharudin : 2006). Keadaan ini perlu diambil perhatian kerana semenanjung Malaysia merupakan kawasan pentadbiran pusat bagi kerajaan Malaysia.

Mengapakah isu jerebu ini masih menjadi permasalahan sedangkan ia pernah menimbulkan masalah yang besar suatu masa dahulu? Tanggal 26 September, 1997 menyaksikan kejadian jerebu teruk dikatakan menjadi punca kecelakaan pesawat Airbus A300 B4-220 milik Garuda Indonesia yang membunuh kesemua 234 orang penumpang dan anak kapal di Medan, Indonesia apabila jarak penglihatan dilaporkan sekitar 600-800 meter sahaja. Jerebu juga merupakan punca perlanggaran sebuah kapal kargo dan kapal tangki di Selat Melaka pada tahun yang sama. Dikatakan juga bahawa akibat dari jerebu ini, kerugian yang disebabkan oleh turunnya kadar pelancongan dan hasil pertanian dianggarkan mencecah berbilion dolar (Sautun Nhadhah: 2005). Seterusnya pada tahun 2005, Lembah Kelang, Kuala Lumpur dan Hulu Selangor telah diishtiharkan darurat berpunca dari fenomena jerebu ini.  

Jika dilihat dari skop yang luas, fenomena jerebu sememangnya menjadi isu yang hangat diperkatakan oleh setiap negara. Walau bagaimanapun, jika dilihat dalam skop yang lebih kecil sebagai contoh di Semenanjung Malaysia, fenomena jerebu sememangnya menjadi satu masalah yang amat berat. Selain itu, masalah ini turut mengganggu aktiviti seharian serta menjejaskan kesihatan manusia(Shafinaz: 2006). Fenomena jerebu di Semenanjung Malaysia akan menjadi skop kajian ini. Dalam mengkaji apakah permasalahan dalam fenomena jerebu di semananjung Malaysia, dapat disimpulkan beberapa permasalahan yang ingin dikaji:-

1.    Apakah punca yang mendorong berlakunya masalah jerebu di semenanjung Malaysia?
2.    Bagaimanakah kaedah yang digunakan bagi mengukur tahap pencemaran udara ini?
3.    Apakah langkah yang wajar diambil bagi mengatasi dan mengawal daripada berlakunya masalah jerebu.
4.    Apakah kesan dari fenomena jerebu kepada manusia, alam sekitar dan ekonomi di kawasan yang dilanda jerebu terutama di semenanjung Malaysia.

Melalui persoalan ini, kajian tentang masalah jerebu yang sering berlaku di Semenanjung Malaysia akan dikaji. Beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia telah dikenal pasti sebagai lokasi kajian. Lokasi seperti Lembah Klang, Hulu Selangor dan Kuala Lumpur dikenal pasti sebagai lokasi yang sesuai bagi menjalankan kajian ini. Lokasi ini sering menjadi lokasi terjadinya fenomena jerebu(Mastura Mahmud: 2009).

Fenomena jerebu yang terjadi di semenanjung Malaysia sejak akhir-akhir ini amat membimbangkan. Peristiwa jerebu yang disebabkan oleh kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan telah memberi kesan yang hebat di pantai barat Semenanjung Malaysia terutamanya di sekitar Lembah Klang sehingga menyebabkan darurat jerebu diistiharkan di Kuala Selangor dan Kelang pada 11 Ogos 2005(Mastura Mahmud: 2009). Dalam kajian ini, objektif kajian yang ingin dicapai merangkumi seperti berikut:-

1.    Mengenalpasti punca kepada berlakunya masalah jerebu di semenanjung Malaysia.
2.    Mengenalpasti kaedah yang digunakan bagi menganalisis tahap pencemaran udara ini.
3.    Mencadangkan  langkah-langkah yang wajar dilakukan bagi mengatasi serta mengawal daripada berlakunya masalah jerebu.
4.    Meneliti kesan dari fenomena jerebu keatas manusia, alam sekitar, serta ekonomi di  kawasan yang dilanda jerebu terutama di semenanjung Malaysia.


Kesimpulannya, masalah jerebu merupakan satu masalah yang amat membimbangkan terutama di Semenanjung Malaysia. Dengan kajian ini, beberapa aspek tentang fenomena jerebu di Semenanjung Malaysia dapat dirungkaikan. Dengan menjadikan beberapa objektif kajian sebagai pandu arah kepada kajian, diharapkan fenomena jerebu di Malaysia dapat dikawal serta peristiwa darurat jerebu yang berlaku di Hulu Selangor pada tahun 2005 tidak berulang. 

PERBEZAAN ETNIK DAN HUBUNGAN SESAMA KAUM DI IPTA

PERBEZAAN ETNIK DAN HUBUNGAN SESAMA KAUM DI IPTA

PENGENALAN

Malaysia telah mengalami pembangunan dan tranformasi sosial serta ekonomi semenjak kemerdekaannya pada tahun 1957. Namun, selain agenda pembangunan dan pemodenan terdapat beberapa isu lain yang harus ditangani sekiranya Malaysia ingin mengekalkan kadar pembangunannya yang dikecapi sekarang. Antara isu yang dimaksudkan ialah isu perpaduan dan pergaulan bagi membetuk satu bangsa yang harmoni. Isu ini amat penting, lebih-lebih lagi bagi sebuah negara yang masyarakatnya terdiri daripada pelbagai kelompok etnik, budaya, bahasa, dan agama.
          Persoalan tentang perpaduan dan pergaulan pelbagai bangsa ini telah banyak diperkatakan, terutamanya selepas tahun 1957 sehinggalah sekarang oleh pelbagai golongan dalam masyarakat. Golongan ini termasuklah ahli politik, cerdik pandai serta golongan masyarakat biasa. Pelbagai program, strategi, langkah serta dasar-dasar sosial dan ekonomi telah dilaksanakan untuk membentuk perpaduan dan kerjasama di samping menutup jurang perbezaan di antara kaum ini. Selain itu, usaha ini juga bertujuan untuk memberikan peluang kepada semua kaum untuk saling mengenali kepelbagaian budaya yang berbeza di antara mereka dan seterusnya menjamin kesejahteraan dan keharmonian mereka terutamanya selepas peristiwa berdarah, 13 Mei 1963.
          Jika diperhatikan dalam skop yang lebih kecil, terdapat banyak masalah yang dihadapi dalam pergaulan terutama sesama mahasiswa terutama di universiti.  Masalah pergaulan dan perhubungan yang dihadapi dalam kalangan mahasiswa ini memberi kesan dimana akan menggugat keharmonian dan kesejahteraan dikalangan mahasiswa. Dengan kajian soal selidik yang dilakukan, terdapat beberapa masalah yang telah dikenal pasti menjadi kekangan dalam pergaulan dikalangan mahasiswa. Walaupun keharmonian diantara mahasiswa masih dalam keadaan yang memuaskan, namun terdapat masalah yang secara tidak langsung mengganggu pergaulan dan perhubungan dalam kalangan mahasiswa. Oleh itu, masalah yang dihadapi ini perlu dikenal pasti bagi memastikan hubungan dan pergaulan sesama mahasiswa berjalan lancer dan harmoni.


PERMASALAHAN KAJIAN

Seperti yang kita sudah sedia maklum, universiti Malaysia sabah  mempunyai pluraliti etnik, budaya, agama, dan bahasa. Kepelbagaian ini menyebabkan wujudnya cabaran dalam memahami budaya kaum lain contohnya, dari segi pertuturan (loghat), cara bergaul, berpakaian dan kehidupan harian sebagai seorang pelajar. Sebagai contoh yang kita dapat perhatikan disini ialah Universiti Malaysia Sabah merupakan universiti yang mempunyai mahasiswa dari pelbagai etnik dan bangsa.
 Seperti yang diketahui,  bahawa di negeri Sabah sahaja terdapat lebih 30 entik pelbagai bangsa dan budaya. Antara etnik yang terdapat di Sabah ialah kadazandusun, bugis, bisaya, rungus, sungai dan banyak lagi. Jika ditambah dengan mahasiswa dari semenanjung, kumpulan etnik dan bangsa ini akan bertambah. Ini mengakibatkan berlakunya masalah dalam pergaulan sesama mahasiswa yang baru. Di peringkat universiti, salah satu langkah untuk meningkatkan lagi kefahaman para pelajar tentang betapa pentingnya membina satu hubungan yang erat di antara kaum adalah dengan mewajibkan pelajar mengambil kursus berkaitan dengan pembinaan bangsa yang kukuh dan hubungan etnik.
Kajian yang dilakukan ini memfokuskan perbincangan tentang masalah yang menganggu keharmonian dan pergaulan dalam kalangan mahasiswa dimana akan menjejaskan integrasi kebangsaan masyarkat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai etnik dan budaya. Selain itu, kajian turut menumpukan kepada cabaran dan masalah pergaulan yang dihadapi dalam mencipta keharmonian dan pergaulan sesama mahasiswa serta memahami dan menangani cabaran dalam hubungan budaya dan etnik di peringkat Malaysia dan seterusnya di peringkat global.

OBJEKTIF KAJIAN

Objektif kajian ini  adalah untuk :
1.    Mendedahkan pelajar kepada kepelbagaian  masalah dalam masyarakat dan kumpulan etnik yang ada di kampus yang mengehadkan perhubungan di antara mereka.
2.    Merungkap permasalahan baru yang menjadi halangan dalam pergaulan dan hubungan dalam kalangan mahasiswa di universiti.  

METODOLOGI KAJIAN

Dua pendekatan telah digunakan dalam kajian ini iaitu pendekatan kuantitatif dan pendekatan kualitatif. Dalam pendekatan kuantitatif, sebanyak 40 borang soal selidik telah diedarkan kepada 40 orang mahasiswa yang telah dipilih yang terdiri daripada pelbagai etnik.
Melalui pendekatan kualitatif pula, didalam borang soal selidik yang diedarkan, terdapat soalan dimana memerlukan responden memberi maklumat secara bertulis bertujuan untuk mendapatkan pandangan secara langsung pandangan responden tentang sesuatu isu. Kaedah pemerhatian juga digunakan iaitu memerhati gelagat dan tingkah laku pelajar secara umum sama ada berada di kolej kediaman, dewan kuliah, dan kawasan lain di sekitar kampus.

KESIMPULAN

Peri pentingnya kita memelihara, memupuk, dan menjamin kelangsungan hubungan etnik yang harmonis bukan sahaja di peringkat pengajian kita sebagai pelajar tetapi juga di peringkat Malaysia ialah suata fakta yang telah diterima umum oleh segenap lapisan masyarakat. Tanpa diungkap secara terbuka, kita juga menerima dan mengakui  bahawa hubungan etnik yang harmonis merupakan anak kunci sebenar kepada kemakmuran dan kesejahteraan Negara ini. Kesedaran ini membawa kepada kefahaman bahawa kepelbagaian bukan sesuatu yang semestinya bersifat negatif atau sesuatu yang menggalakkan pertentangan. Kepelbagaian juga merupakan satu kekuatan kerana dari sudut alamiah, manusia memang wujud berpuak-puak, berkelompok dan bermastautin di tempat-tempat yang berbeza di antara satu dengan yanglain. Tidak hairanlah, membina kesepaduan daripada kepelbagaian itu merupakan satu kemestian yang akan memastikan kelangsungan sesebuah masyarakat. Perasaan positif dan prihatin terhadap semua kelompok etnik yang berbeza haruslah berlandaskan kefahaman yang mendalam. Apabila perasaan ini wujud, maka akan terbina pula perilaku dan tindakan yang bersifat akomodatif, iaitu sedia menerima golongan etnik yang berbeza yang mempunyai kelainan dalam pelbagai aspek. Sifat akomodatif serta kesanggupan menerima golongan etnik lain yang berbeza cara hidup, kebiasaan, adat resam dan agama merupakan aspek yang sangat penting dalam pembuka jalan kepada kerjasama dan kesepakatan demi mewujudkan suasana harmonis dan aman damai.  
Secara keseluruhannya di universiti ini, dapatlah disimpulkan bahawa kebanyakan pelajar mempunyai pengalaman yang hampir sama di mana mereka mempunyai kesukaran dalam memahami perbezaan yang jelas akibat daripada pergaulan dalam kumpulan etnik yang berbeza. Pada mulanya, keadaan memang agak rumit kerana belum dapat membiasakan diri dengan suasana baru di universiti tetapi lama-kelamaan pelajar berasa semakin seronok dan teruja dengan perbezaan tersebut dan membuatkan mereka ingin mempelajari perbezaan tersebut. Dalam unversiti ini, tidak hairanlah jika kita melihat pelajar bukan dari suku kaum Kadazandusun akan menari tarian tradisional Sabah iaitu ‘sumazau’ ataupun pelajar Kadazandusun menari tarian Tamil pada sambutan hari-hari perayaan di universiti ini. Dari segi pertuturan, pelajar Melayu telah pandai menggunakan perkataan ‘bah’ yang menjadi ‘trademark’ bagi pelajar Sabah. Nyatanya, perbezaan kumpulan etnik tidak menjadi batu penghalang bagi pelajar UMS menjalinkan hubungan harmoni sesama mereka.