CARI TAJUK

Isnin, 19 Ogos 2013

Jerebu : Fenomena pencemaran udara di Semenanjung Malaysia

Jerebu : Fenomena pencemaran udara di Semenanjung Malaysia

          Fenomena jerebu merupakan fenomena yang tidak asing lagi dan sering berlaku di semenanjung Malaysia. Jerebu adalah partikal-partikal atau zarah-zarah halus seperti debu, gas pencemar dan asap yang tidak nampak oleh mata kasar yang terampai di atmosfera dalam kepekatan yang tinggi(Borneo Post : 1997).  Fenomena jerebu yang sering berlaku di beberapa kawasan di semenanjung Malaysia bukan sahaja berlaku hasil daripada pencemaran udara di kawasan itu sendiri, tetapi membabitkan unsur dari negara jiran.(Shaharudin : 2006). Selain itu, kehadiran musim kering yang berpanjangan kesan daripada fenomena El-Nino dan amalan pembakaran terbuka di kawasan pertanian yang luas di Sumatera menjadi penyebab dan penggalak masalah jerebu di Malaysia(Norazuan Hashim: 2006).

Pada tahun 2005, Majlis Keselamatan Malaysia telah mengumumkan tentang pengisytiharaan darurat di beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia. Kawasan yang pernah diisytiharkan darurat ketika berlakunya masalah jerebu ialah Lembah Klang, Kuala Lumpur, dan Hulu Selangor(Sautun Nhadhah: 2005). Keadaan ini berlaku kerana bacaan Indeks Pencemaran Udara kelebihi bacaan 500 iaitu mencapai tahap berbahaya(Shafinaz; 2005). Memang tidak dinafikan bahawa pelepasan gas dari kenderaan, perindustrian, dan pelupusan sisa pertanian menjadi punca utama kepada berlakunya masalah jerebu. Namun masalah ini turut berlaku akibat pencemaran merentasi benua.

Selain itu, fenomena semulajadi turut menjadi penyumbang kepada berlakunya fenomena jerebu di semenanjung Malaysia.(Sautun Nhadhah: 2005). Tiupan angin umpamanya akan memindahkan bahan-bahan terampai tersebut ke kawasan lain. Ini dapat dibuktikan dimana tiupan angin monsun telah memindahkan jerebu dari kawasan selatan semenanjung ke kawasan utara iaitu di Pulau Pinang (Sautun Nhadhah: 2005). Masalah jerebu turut memberi kesan kepada aktiviti manusia, ekosistem alam sekitar dan turut mempengaruhi psikologi seseorang seperti kemurungan, kekurangan tenaga, tiada motivasi untuk melakukan sebarang aktiviti, rasa cemas dan takut, masalah tidur, lebih cepat naik marah, dan masalah selera makan.(Teoh Hsien Jin: 2008). Selain itu, masalah jerebu turut menjejaskan ekonomi Malaysia (Shaharudin : 2006). Keadaan ini perlu diambil perhatian kerana semenanjung Malaysia merupakan kawasan pentadbiran pusat bagi kerajaan Malaysia.

Mengapakah isu jerebu ini masih menjadi permasalahan sedangkan ia pernah menimbulkan masalah yang besar suatu masa dahulu? Tanggal 26 September, 1997 menyaksikan kejadian jerebu teruk dikatakan menjadi punca kecelakaan pesawat Airbus A300 B4-220 milik Garuda Indonesia yang membunuh kesemua 234 orang penumpang dan anak kapal di Medan, Indonesia apabila jarak penglihatan dilaporkan sekitar 600-800 meter sahaja. Jerebu juga merupakan punca perlanggaran sebuah kapal kargo dan kapal tangki di Selat Melaka pada tahun yang sama. Dikatakan juga bahawa akibat dari jerebu ini, kerugian yang disebabkan oleh turunnya kadar pelancongan dan hasil pertanian dianggarkan mencecah berbilion dolar (Sautun Nhadhah: 2005). Seterusnya pada tahun 2005, Lembah Kelang, Kuala Lumpur dan Hulu Selangor telah diishtiharkan darurat berpunca dari fenomena jerebu ini.  

Jika dilihat dari skop yang luas, fenomena jerebu sememangnya menjadi isu yang hangat diperkatakan oleh setiap negara. Walau bagaimanapun, jika dilihat dalam skop yang lebih kecil sebagai contoh di Semenanjung Malaysia, fenomena jerebu sememangnya menjadi satu masalah yang amat berat. Selain itu, masalah ini turut mengganggu aktiviti seharian serta menjejaskan kesihatan manusia(Shafinaz: 2006). Fenomena jerebu di Semenanjung Malaysia akan menjadi skop kajian ini. Dalam mengkaji apakah permasalahan dalam fenomena jerebu di semananjung Malaysia, dapat disimpulkan beberapa permasalahan yang ingin dikaji:-

1.    Apakah punca yang mendorong berlakunya masalah jerebu di semenanjung Malaysia?
2.    Bagaimanakah kaedah yang digunakan bagi mengukur tahap pencemaran udara ini?
3.    Apakah langkah yang wajar diambil bagi mengatasi dan mengawal daripada berlakunya masalah jerebu.
4.    Apakah kesan dari fenomena jerebu kepada manusia, alam sekitar dan ekonomi di kawasan yang dilanda jerebu terutama di semenanjung Malaysia.

Melalui persoalan ini, kajian tentang masalah jerebu yang sering berlaku di Semenanjung Malaysia akan dikaji. Beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia telah dikenal pasti sebagai lokasi kajian. Lokasi seperti Lembah Klang, Hulu Selangor dan Kuala Lumpur dikenal pasti sebagai lokasi yang sesuai bagi menjalankan kajian ini. Lokasi ini sering menjadi lokasi terjadinya fenomena jerebu(Mastura Mahmud: 2009).

Fenomena jerebu yang terjadi di semenanjung Malaysia sejak akhir-akhir ini amat membimbangkan. Peristiwa jerebu yang disebabkan oleh kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan telah memberi kesan yang hebat di pantai barat Semenanjung Malaysia terutamanya di sekitar Lembah Klang sehingga menyebabkan darurat jerebu diistiharkan di Kuala Selangor dan Kelang pada 11 Ogos 2005(Mastura Mahmud: 2009). Dalam kajian ini, objektif kajian yang ingin dicapai merangkumi seperti berikut:-

1.    Mengenalpasti punca kepada berlakunya masalah jerebu di semenanjung Malaysia.
2.    Mengenalpasti kaedah yang digunakan bagi menganalisis tahap pencemaran udara ini.
3.    Mencadangkan  langkah-langkah yang wajar dilakukan bagi mengatasi serta mengawal daripada berlakunya masalah jerebu.
4.    Meneliti kesan dari fenomena jerebu keatas manusia, alam sekitar, serta ekonomi di  kawasan yang dilanda jerebu terutama di semenanjung Malaysia.


Kesimpulannya, masalah jerebu merupakan satu masalah yang amat membimbangkan terutama di Semenanjung Malaysia. Dengan kajian ini, beberapa aspek tentang fenomena jerebu di Semenanjung Malaysia dapat dirungkaikan. Dengan menjadikan beberapa objektif kajian sebagai pandu arah kepada kajian, diharapkan fenomena jerebu di Malaysia dapat dikawal serta peristiwa darurat jerebu yang berlaku di Hulu Selangor pada tahun 2005 tidak berulang. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan