CARI TAJUK

Jumaat, 28 September 2012

APA KEGUNAAN TUMBUHAN HERBA?? (KAJIAN LEPAS)

APA KEGUNAAN TUMBUHAN HERBA?? (KAJIAN LEPAS)
 penulis: AKMAL ARIFFIN 2011
Penggunaan tumbuhan sebagai kegunaan seharian telah bermula sejak zaman dahulu lagi. Selain digunakan sebagai bahan binaan, tumbuhan juga turut digunakan sebagai bahan penyembuh bagi mengubati penyakit. Tumbuhan yang berfungsi sebagai apotik di muka bumi berpotensi besar dalam penghasilan penawar yang dihidapi oleh manusia dan digunakan serta diwarisi oleh manusia secara turun temurun (Fatan :2007). Menurut Kamal (1994), sebelum perubatan moden wujud, manusia menggunakan herba dan akar kayu untuk dijadikan ubat atau penawar. K.Mat-Salleh (2001) menyatakan bahawa ekosistem hutan Malaysia kaya dengan pelbagai tumbuhan liar yang bermanfaat yang mempunyai hubungan dengan kebudayaan sesuatu masyarakat. Kepentingan herba kemudian diperkembangkan melalui perubatan moden dari masa kesemasa dengan pencampuran dengan  bahan kimia supaya ubat atau penawar agar lebih berkesan. Penggunaan perubatan berasaskan herba kurang dipraktikkan pada zaman kini terutama oleh masyarakat moden kerana kurang pengetahuan mengenai penggunaan tumbuhan herba dan tidak tahu darimanakah sumber asli ini diperoleh. Kekurangan pengetahuan sebegini menyebabkan penggunaan tumbuhan herba dalam kehidupan seharian makin hilang dalam masyarakat (Kamal :1994).
Kamal (1994) turut menyatakan bahawa masyarakat Asia kaya dengan herba dan perubatan tradisional kerana faktor konteks iaitu dikelilingi oleh sumber alam semulajadi dari dalam  hutan hujan tropika. Di Malaysia khasnya, masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum mempunyai keistimewaan sendiri dalam menjalani kehidupan mereka. Mereka merupakan masyarakat yang mempunyai kepakaran dalam penggunaan tumbuhan terutama dalam perubatan tradisi (Azizah : 1996). Setiap masyarakat di Malaysia mempunyai kaedah tersendiri bagi menghasilkan ubatan berasaskan tumbuh-tumbuhan. Perubatan tradisional berkait rapat dengan sejarah sosio budaya manusia. Setiap masyarakat di dunia ada sejarah perubatan asli tersendiri. Di Malaysia, perubatan tradisional terbahagi tiga iaitu Melayu/Orang Asli, Cina dan India. Perubatan Cina berasaskan Confucius, India Ayurveda manakala Melayu campuran budaya Hindu, Arab dan Orang Asli. Walaubagaimanapun, semuanya ada ciri sepunya iaitu bahan mentahnya berasal dari tumbuhan (Fatan:2007). Ini membuktikan walaupun terdapat kaedah yang berbeza dalam penggunaan ubatan bagi setiap bangsa, namun asas kepada penghasilan ubatan tersebut adalah tumbuh-tumbuhan.

Penggunaan tumbuhan herba dalam masyarakat di Malaysia memang telah sebati walaupun pada masa kini terdapat campuran bahan kimia dalam ubatan herba. Masyarakat tetap menggunakan ubatan yang berasaskan herba walaupun zaman telah berubah. Menurut Rosnawati (1999), masyarakat Melayu mempunyai tradisi dan keistimewaan tersendiri dalam menjalani kehidupan seharian mereka. Masyarakat Melayu merupakan masyarakat yang mempunyai kemahiran dalam penggunaan tumbuhan terutama dalam pengubatan tradisi. Kebanyakkan dari masyarakat ini terdiri daripada kumpulan etnik yang pandai memanfaatkan hasil hutan terutama untuk tujuan perubatan. Ini dibuktikan berdasarkan wujudnya pengamal ubatan tradisi di kampung-kampung orang Melayu sama ada dukun, bomoh, pawang dan sebagainya. Fatan (2007) berpendapat masyarakat Melayu mempunyai kemahiran dan pengatahuan farmaseutikal tentang tumbuh-tumbuhan dan dapat menentukan ubat dan penawar kepada pelbagai jenis penyakit.
Pengalaman dan kepakaran masyarakat Melayu tentang perubatan tradisi melalui tumbuhan telah menarik para pengkaji untuk mengcungkir lebih banyak rahsia tentang tumbuhan untuk kegunaan manusia terutamanya dalam bidang perubatan. Setengah perubatan tradisi dapat dijelaskan melalui bukti-bukti saintifik, banyak kajian yang dijalankan berjaya memberi pengesahan terdapat kebekesanan terapi sediaan-sediaan herba (Rosnawati :1999). Menurut Fatan (2007), kawasan hutan tropika Malaysia khususnya di hutan hujan tropika Durian Tuang, Mukim Sanggang, Temerloh Pahang mempunyai kepelbagaian sepsis tumbuhan yang mempunyai nilai perubatan yang amat berharga. Masyarakat Melayu di kawasan tersebut telah lama menggunakan ramuan daripada ‘rempah gunung’ dan ‘teja’ sebagai satu teknik atau kaedah bagi menyembuhkan beberapa jenis penyakit. Beliau turut menyatakan dalam kajian Aishah dan Aziz (1995) menunjukkan penggunaan tumbuhan dan budaya telah mempengaruhi sistem pemakanan dan perubatan masyarakat Melayu. Masyarakat terdahulu mengenalpasti kegunaan tumbuhan dengan memerhatikan dan mengambil tahu akan jenis tumbuhan yang lazim dimakan oleh binatang peliharaan seperti kucing. Pemerhatian terhadap kesan pengambilan tumbuhan oleh haiwan terutama apabila melihat binatang itu tidak sihat akan menambah pengetahuan mereka mengenai mengenali jenis tumbuh – tumbuhan yang berkhasiat ataupun beracun lalu disesuaikan dengan pengalaman mereka sendiri untuk dijadikan bahan perubatan (Azura :1999).

Kajian Aishah dan Aziz (1995) mendapati bahawa budaya dalam sesuatu bangsa menentukan jenis tumbuhan dan bahagian manadaaripada tmbuhan tersebut yang boleh dimakan, dibuat perhiasan dan dijadikan penawar. Dalam kajian Sofowora (1982), beliau menjelaskan mengenai fungsi tumbuhan ubatan dan tumbuhan makanan dimana tumbuhan ubatan berfungsi sebagai penawar kepada sesuatu penyakit atau sebagai penghindar daripada sesuatu penyakit. Tumbuhan makanan pula berfungsi menghilangkan lapar dan menyihatkan badan. Fatan (2007) menyatakan bahawa masyarakat Melayu mempunyai pertalian erat dengan alam sekitar dimana kebanyakkan sistem perubatan masyarakat Melayu menggunakan tumbuhan ubatan sebagai asas rawatan, penjagaan kesihatan dan pemakanan. Beliaun menambah lagi, masyarakat Melayu menggunakan pelbagai kaedah dalam penyediaan ramua ubatan dari tumbuh-tumbuhan. Antara kaedah yang digunakan ialah merebus, celur, perah, menumbuk, menjemur, merendam, membakar dan malayur adalah beberapa kaedah biasa yang digunakan untuk menyediakan ramuan ubatan menggunakan tumbuhan. Sapu, gosok, tuam, urut, makan, minum dan mandi merupakan kaedah penggunaan ramuan ubatan tersebut.
Dalam penulisan G. Kusalah (2001), beliau berpendapat kaum etnik di Malaysia terkenal dalam amalan penggunaan tumbuhan dalam kehidupan seharian. Tumbuhan yang digunakan dalam kehidupan seharian ini diperoleh dengan pelbagai cara. Beliau turut menyebut tentang kajian Lina (1993) yang mneyatakan bahawa di didalam masyarakat Semai, 97 spesis tumbuhan digunakan dari habitat asli, 62 spesis dijumpai dalam habitat masa kini, dan 888 spesis tidak ditanam iaitu hidup meliar. Penggunaan tumbuhan herba tidak terkecuali juga bagi masyarakat Sabah dan Sarawak (K.Mat Saleh : 2001). Taburan pelbagai masyarakat di kawasan yang kaya dengan hasil hutan menyebabkan tumbuh-tumbuhan turut digunakan sebagai ubatan bagi merawat penyakit. Sebagai contoh di Sabah, kaum etnik terbesar sepeti Kadazan/Dusun, Bajau dan Murut masih mengamalkan sistem cara hidup tradisional dimana masih menggunakan tumbuhan sebagai bahan perubatan. Namun menurut beliau lagi, perubahan masa menyebabkan generasi baru kurang mengetahui mengenai khazanah alam yang bernilai tinggi dimana generasi muda berpindah ke kawasan bandar. Bagi meningkatkan penggunaan tumbuhan herba dalam kehidupan seharian, penyelidikan berasaskan tumbuhan herba perlu dipertingkatkan.

Menurut Ibrahim (2004), pasaran pasaran ubatan herba di Malaysia mengalami pertumbuhan yang luar biasa, pendekatan penyelidikan baru-baru ini telah meliputi aktiviti untuk membangunkan ubatan herba menjadi produk yang berkualiti, berkesan dan selamat untuk penggunaan manusia. Kemajuan dalam teknik-teknik kromatografi dan spektroskopi telah memberi impak yang sangat besar ke atas pengasingan dan elusidasi struktur kandungan tumbuhan ubatan. Menurut Nazrul (2009), masyarakat yang pelbagai etnik dan bangsa yang menjadi pengguna mula terarah kepada produk semula jadi berasaskan tumbuhan herba dimana mereka kini memilih untuk menjadikan tumbuhan herba sebagai bahan utama kegunaan harian. Produk tersebut merangkumi ubat-ubatan, makanan atau produk penjagaan kesihatan berasaskan herba yang kini semakin popular digunakan dalam kalangan masyarakat.

Penggunaan tumbuhan  dan herba sebagai ubat dalam masyarakat di Malaysia khasnya masyarakat Melayu telah memakan zaman. Tradisi ini sejajar dengan keistimewaan bumi Malaysia sebagai sebuah negara kaya dengan pelbagai flora (Salim :1999). Menurut Fatan (2007), keadaan geografi (iklim, struktur tanah tanih, dan sistem saliran) di sesuatu kawasan yang ditumbuhi hutan jenis tropika atau khatulistiwa bukan sahaja menawarkan landskap hijau yang menarik, malah kahijauan hutan tersebut tersimpan banyak manfaat dari segi berubatan kepada masyarakat yang menggunakannya. Oleh itu, penggunaan herba dalam kepelbagaian masyarakat sangat popular dan menjadi amalan sehingga kini.

Rujukan
1.    K.Mat-Salleh, 2001, Peranan Tumbuhan Di Dalam Budaya Masyarakat Tempatan: Status Kajian Etnobotani Masa Kini Di Malaysia, Pusat Pengajian Sains Sekitaran dan Sumber Alam Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Kebangsaan Malaysia, Saims Malaysiana.
2.    Fatan Hamamah, 2007, Potensi Tumbuh-Tumbuhan sebagai Ubat-Ubatan, Bahagian Antropologi dan Sosiologi, Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, Universiti Sains Malaysia, Jurnal e-Bangi.
3.    Ibrahim Jantan, 2004, Medical Plant Research in Malaysia: Scientific Interests and Advances, Jurnal Sains Kesihatan Malaysia 2(2) 2004: 27-46
4.    Azura, 1999, Kepentingan Tumbuhan Herba Bagi Masyarakat Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia.
5.    Kamal, 1994, Kompleks Herba Sebagai Pemangkin Kesan Rumah Hijau: PEMBANGUNAN SEMULA TAMAN HERBA NEGERI PERLIS SEBAGAI PUSAT PEMBELAJARAN TIDAK FORMAL  KEPADA MASYARAKAT.
6.    Rosnawati, 1999, Perubatan Tradisi Melalui Penggunaan Tumbuhan, Universiti Kebangsaan Malaysia.
7.    Razak, April-1996, Perubatan Tradisional Antara Manfaat Dan Risiko, Dewan Kosmik.
8.    M.Salim Masrah, 1999, Herbal dan Tumbuhan Ubatan, http://pkukmweb.ukm.my
9.       Nazarul, 2009, Keajaiban Tumbuhan Herba, Utusan Malaysia, http://www.ipislam.edu.my/index.php/artikel/read/997/keajaiban-tumbuhan-herba


Tiada ulasan:

Catat Ulasan