CARI TAJUK

Jumaat, 28 September 2012

Apa Itu Pantai Dan Pinggir Laut?

Apa Itu Pantai dan Pinggir Laut??

 

 

Pendahuluan


Kawasan pantai adalah tempat daratan bertemu dengan pinggir laut. Kawasan ini membentuk jalur sempit bersempadan dengan laut.   Pantai yang wujud adalah hasil daripada kegiatan hakisan serta kejadian semulajadi yang berlaku sejak 15 000 – 20 000 tahun dahulu.

Pantai Berbatu

Ciri pantai bergantung kepada struktur tanah di kawasan itu.  Kawasan berbatu akan mengujudkan pantai berbatu.  Ombak tidak mampu menghakis batu-batu ini ke partikel-partikel yang lebih kecil.   Pantai berbatu sangat stabil.  Pantai ini dicirikan oleh satu kawasan lereng yang sangat curam.  Di bahagian tengah, kecuraman lereng menurun dan akhirnya menjadi datar.  Semasa air surut, wujud banyak takungan air atau lopak di kawasan yang mendatar.

Kawasan pantai sentiasa dilanda ombak.  Bahagian yang curam menerima daya ombak sepenuhnya.  Kehadiran ombak ini menimbulkan masalah yang cukup besar terhadap organisma yang tinggal di pantai.  Antara lain, ombak mampu mengalihkan organisma ini ke tempat yang tidak sesuai. 

Di Semenanjung Malaysia, pantai yang benar-benar berbatu tidak banyak. Kebanyakan pantai di Semenanjung Malaysia adalah pantai campuran batu, pasir dan selut. Komposisi  pantai ini berubah mengikut tempat.  Kadar pemendakan, saiz partikel dan bebanan sedimen yang dibawa oleh sungai mempengaruhi jenis  pantai yang terbentuk.

 

Pantai Berpasir

Pantai berpasir adalah pantai yang biasa ditemui di seluruh dunia.  Dibandingkan dengan pantai berbatu, pantai berpasirlah  yang lebih dikenali oleh manusia kerana pelbagai kegiatan rekreasi boleh dilakukan di pantai ini.   Pantai berpasir yang kelihatan bersih memperlihatkan satu pemandangan yang indah.  Di kawasan yang airnya bebas daripada partikel terampai, airnya cukup jernih.  Untuk pantai yang wujud berhampiran dengan kawasan kuala, air pada amnya keruh memandangkan sungai membebaskan beban  lodaknya  di kawasan ini. 

Pantai Berselut

Di kebanyakan kawasan yang terlindung, substratnya terdiri daripada pasir yang bersaiz halus.   Partikel-partikel yang mendak akan memasuki dan menyumbat ruang-ruang yang terdapat di antara butir-butir pasir.  Kepadatan ini menyebabkan air yang wujud di ruang-ruang ini tidak boleh diganti dan ini mengujudkan keadaan kekurangan oksigen.  Kandungan hidrogen sulfida (H2S) turut tinggi di dasaran.  Semasa proses penguraian bahan organik, gas ini dibebaskan.  Hidrogen sulfida  wujud sebagai sulfit yang berwarna kelabu gelap atau hitam. Substrat di kawasan ini berwarna hitam dan berbau busuk.  Substrat jenis ini dikenali sebagai pasir selut (pasir hitam).

Kawasan yang mempunyai kandungan bahan organik yang tinggi dikenali sebagai pantai berselut.  Sekiranya substrat berselut ini bercampur dengan cangkerang moluska yang mati, maka pantai ini dikenali sebagai pantai selut bercangkerang.  Kehadiran cangkerang ini mempertingkatkan lagi kandungan bahan organik di kawasan tersebut.

Pantai berselut merupakan pantai yang sesuai ditumbuhi oleh pokok bakau.  Memandangkan substrat pantai berselut kekurangan oksigen, pokok bakau perlu mempunyai adaptasi untuk mendapatkan bekalan oksigennya.  Untuk mengatasi masalah ini, kebanyakan spesies pokok bakau mempunyai akar pneumatofor.  Dengan adanya akar ini, pokok bakau mendapat bekalan oksigennya dari udara. 

Pantai jenis ini dicirikan oleh kewujudan terumbu batu karang.  Batu karang adalah sejenis haiwan dari kumpulan Coelenterata (kelas Anthozoa).  Organisma ini hidup secara koloni dan membina rangka daripada kalsium karbonat.  Bekalan ion Ca2+ dan CO32- diperoleh daripada air laut. 

Pada keadaan persekitaran yang baik, karang boleh membiak dengan cepat.  Namun kadar pertumbuhan haiwan ini sangat perlahan iaitu 1-3 cm setahun.

Terumbu batu karang boleh musnah semasa musim ribut taufan.  Pukulan ombak dan tiupan angin yang kencang mampu memusnahkan rangkanya.  Namun begitu, kebanyakan spesies karang mempunyai kemampuan untuk tumbuh semula.  Sejak kebelakangan ini, terumbu batu karang menghadapi masalah kemusnahan daripada sejenis tapak sulaiman yang dikenali sebagai Mahkota Berduri (Acanthaster planci).  Tapak sulaiman ini  mampu memusnahkan populasi karang yang besar dan fenomena ini hanya mula dikesan sejak 10 – 20 tahun kebelakangan ini.

Substrat pantai tidaklah statik.  Bergantung pada tindakan ombak dan arus, substrat pantai  sentiasa berubah.   Pantai yang senang berubah adalah pantai berpasir.  Kebanyakan pantai berpasir dicirikan oleh kehadiran benteng pasir (gosong) yang terbentuk akibat tindakan ombak dan pasang-surut. Kehadiran benteng pasir ini lebih dirasai semasa air surut. Butiran pasir yang terkandung dalam air, dibawa oleh ombak ke pantai  dan dilambakkan sebagai benteng pasir.

Butir-butir pasir yang terampai dalam air laut, boleh juga dibawa ombak jauh dari pantai.  Keadaan ini  dikenali sebagai proses hakisan pantai.  Arah tiupan angin akan menentukan sama ada pasir ditimbunkan di pantai atau dihakis dari pantai.   Benteng boleh terbentuk oleh ombak yang mempunyai tinggi ombak yang rendah dan berjarak gelombang yang panjang.  Kombinasi ombak yang berjarak gelombang pendek serta angin yang bertiup ke arah pantai pula  boleh menghakis pasir pantai.  Faktor-faktor ini akan menghanyutkan  ampaian pasir jauh ke laut lepas. Selain daripada hanyutan di permukaan oleh angin, terdapat juga hanyutan di dasar yang membawa pasir ke laut.

Pantai Di Pantai Barat Semenanjung Malaysia

Pada amnya, kawasan pantai di Pantai Barat Semenanjung Malaysia ditumbuhi oleh hutan bakau.  Memandangkan pantai barat menghadap Selat Melaka, air di kawasan ini pada amnya tenang.   Di beberapa kawasan seperti di Tanjung Keling, Port Dickson, Pulau Pinang dan  Langkawi wujud pantai berbatu.  Pantai berbatu ini, kadang kala diselangselikan dengan kawasan berpasir.  Di Port Dickson dan Pulau Payar, Langkawi wujud kawasan batu karang.  Di kawasan lain  di Pantai Barat Semenanjung, terumbu batu tidak wujud ataupun terumbu ini sudah musnah akibat pencemaran dan pembangunan.

Pantai Di Pantai Timur Semenanjung Malaysia

Memandangkan Pantai Timur Semenanjung Malaysia menghadap laut China Selatan, kawasan pantainya terdedah kepada kesan ombak yang kuat.  Pada musim tengkujuh, laut bergelora dan ombak besar kerap melanda pantainya.  Pantai berpasir boleh ditemui di Kuala Merang, Dungun dan sepanjang pantai Paka hingga ke Kuantan.  Pantai Mersing dan pantai-pantai yang terletak di selatan Mersing pula, dicirikan oleh pantai berbatu.  Terumbu batu karang boleh ditemui di kebanyakan  pulau-pulau yang bertaburan di Perairan Pantai Timur.  Pulau-pulau seperti  Pulau Tioman, Pulau Redang dan Pulau Perhentian memang sudah terkenal sebagai destinasi pelancongan kerana keindahan terumbu batu karangnya.

Pantai Di Sabah Dan Sarawak

Kebanyakan pantai Sabah dan Sarawak ditumbuhi oleh hutan bakau. Di samping itu, ada juga kawasan yang mempunyai pantai berpasir dan berbatu.  Terumbu batu karang boleh ditemui di pulau-pulau di perairan  Tawau.  Satu lagi kawasan terumbu batu karang yang terkenal ialah di Pulau Sipadan.  Di pulau ini, pembentukan batu karangnya dianggap sebagai salah satu yang tercantik di dunia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan