CARI TAJUK

Isnin, 19 Ogos 2013

WESTON, PEKAN JALAN MATI

PROGRAM ANAK ANGKAT DAN AKTIVITI PENGUMPULAN DATA DI PEKAN WESTON, BEUFORT SABAH

WESTON, PEKAN JALAN MATI

Weston merupakan sebuah kawasan di daerah Beufort dimana hampir 80% penduduknya merupakan nelayan pinggir pantai. Seramai 84 orang mahasiswa dan mahasiswi Universiti Malaysia Sabah (UMS) diiringi oleh tiga orang pensyarah telah menjalankan suatu penyelidikan mengenai aktiviti pelancongan di kawasan tersebut. Sebelum bertolak ke kawasan kajian, kesemua mahasiswa dan mahasiswi berserta pensyarah berkumpul di foyer Sekolah Sains Sosial bagi mendapatkan beberapa taklimat berhubung aktiviti yang akan dijalankan. Satu kejutan kepada kami dimana mahasiswa dan mahasiswi akan diberi kepada keluarga angkat. Perasaan teruja terpapar di wajah setiap mahasiswa dan mahasiswi kerana perkara ini tidak dilaporkan sebelum ini. Selepas mendengar taklimat dari pensyarah, kesemua 84 mahasiswa dan mahasiswi bertolak dari UMS pada jam 9.30 pagi menggunakan dua buah bas.

Semasa perjalanan ke Weston, dapat diperhatikan pelbagai landskap guna tanah di sepanjang jalan ke destinasi. Kawasan berpaya, hutan renek, kawasan perladangan dan pertanian serta kawasan perumahan adalah beberapa landskap guna tanah yang terdapat di sepanjang perjalanan kami. Hampir satu jam setengah perjalanan, kami berhenti di Papar untuk bersarapan. Setelah selesai bersarapan, kami meneruskan perjalanan ke destinasi yang ingin dituju dan kami tiba di pekan Beufort pada pukul 12 tengahari. Pekan Beufort mrupakan sebuah kawasan yang sedang membangun dimana terdapat pelbagai kemudahan bagi penduduk kawasan tersebut. Terdapat landasan kereta api dari Kota Kinabalu menghubung ke Beufort di kawasan tersebut. Dapat disimpulakn bahawa system perhubungan di kawasan ini memuaskan dan membantu penduduk sekitar.

Setelah melalui pekan Beufort, kami melintasi jambatan yang merintangi Sungai Padas. Sungai yang agak lebar dilintasi dengan lancar disebabkan jambatan yang dibina dalam keadaan yang baik. Air sungai yang mengalir tenang kelihatan agak keruh dan ini menandakan bahawa terdapat aktiviti di hulu sungai yang menjadi punca kepada kekeruhan air sungai tersebut. Setelah melintasi jambatan Sungai Padas dengan selamat, kami meneruskan perjalanan sehingga menjumpai satu papan tanda yang tertulis “WESTON” yang menandakan perjalanan kami ke destinasi sudah hampir. Setelah memasuki simpang ke Weston, kami dihidangi pemandangan kampung yang sangat berbeza dengan perkampungan di Semenanjung Malaysia. Keadaan atau struktur pembinaan rumah di sekitar kampung sangat menarik.

Setelah hampir tiga jam perjalanan, kami tiba di pekan Weston. Kehadiran kami disambut oleh penduduk kampung. Penduduk kampung bukan sahaja menunggu kehadiran kami malah menunggu kehadiran ahli parlimen Putatan yang turut hadir bagi memeriahkan program anak angkat dan aktiviti komuniti 1 Malaysia. Aktiviti tersebut terut mendapat liputan dari Radio Television Malaysia (RTM). Sebelum ketibaan ahli parlimen tersebut, kami diberi taklimat mengenai program anak angkat oleh penyelaras program. Setelah taklimat selesai, kami dibahagi-bahagikan kepada keluarga angkat masing-masing secara tidak rasmi. Setelah berkenalan dengan keluarga angkat, saya bersama rakan saya menuju ke kediaman Pak Zabidi. Kami menuju ke rumahnya menggunakan lori dan kami saling berkenalan dengan bapa angkat kami tersebut di dalam lori. Semasa menuju ke kediaman Pak Zabidi, kelihatan beberapa buah rumah atas air yang sangat menarik perhatian saya. Ini menyebabkan saya teruja dan lebih ingin mengenali kawasan Weston dengan lebih dekat.

Setibanya di kediaman Pak Zabidi, saya dan rakan saya disambut dengan meriah oleh Pak Zabidi sekeluarga. Kami saling berkenalan dan dihidangkan dengan makanan tengahari. Setelah selesai menjamu selera, kami pergi melawat jambatan yang baru dibina bernilai 15 juta ringgit di sekitar perkampungan atas air seterusnya kami bertolak semula ke pekan Weston bagi majlis perasmian program anak angkat dan aktiviti komuniti 1 Malaysia oleh ahli parlimen kawasan tersebut. Setelah selesai, kami diberikan beberapa taklimat mengenai pengedaran soal selidik oleh pensyarah. Setelah selesai, kami menjalankan aktiviti pangumpulan data di sekitar kawasan pekan Weston dan Kampung Weston. Saya dapat menemubual Ketua Puteri UMNO bahagian Weston dan mendapat maklumat yang dapat menjawab keseluruhan soal selidik. Terdapat mahasiswa dan mahasiswi menyertai aktiviti sukaneka bersama penduduk kampung.

Setelah selesai makan malam di rumah Pak Zabidi, saya dan rakan bersama Pak Zabidi sekeluarga menuju ke dewan orang ramai bagi melihat rakaman dari pihak RTM tentang adat budaya perkahwinan masyarakat Brunei. Pelbagai persembahan dan adat istiadat dipersembahkan semasa lakonan perkahwinan dijalankan. Setelah selesai rakaman tersebut, hadirin dijamu dengan persembahan kesenian tarian, aktiviti karaoke, cabutan bertuah dan permainan tradisi main bubu. Permainan ini amat mengujakan saya kerana mainan ini terdapat penerapan unsur mistik. Bubu yang dihias seperti seorang wanita dipegang oleh beberapa orang pemain akan melompat-lompat mengikut irama paluan kompang. Permainan seperti ini jarang-jarang sekali kelihatan di Semenanjung Malaysia dan merupakan pengalaman yang tidak dapat saya lupakan. Semasa aktiviti tersebut berlangsung, saya berkesempatan menemubual penduduk tempatan bagi memenuhi soal selidik. Keramahan penduduk tempatan memudahkan kami mengumpul data dalam penyelidikan ini. Pelbagai sejarah dan kisah di kawasan Weston diceritakan oleh penduduk tempatan.

Setelah selesai majlis tersebut, kami menuju ke kediaman keluarga angkat masing-masing. Terdapat rakan-rakan yang menghadiri majlis kanduri di kawasan berdekatan. Saya dan rakan meneruskan perjalanan ke rumah Pak Zabidi dan ingin berehat setelah hampir sehari sibuk dengan aktiviti. Menceritakan pengalaman merasai makanan masyarakat Brunei, tidak dinafikan bahawa makanan masyarakat ini lebih kepada makanan hasil laut seperti udang dan ikan. Menurut Pak Zabidi, makanan laut yang terkenal di Weston ialah keenakkan udang galah yang mudah didapati di kawasan Weston. Kami terlepas peluang untuk mengikuti tawaran Pak Zabidi bersama anaknya lelakinya turun menangkap udang kerana kami kesuntukan masa.

Keesokkan paginya, saya dan rakan bersama Pak Zabidi dan adiknya ke kawasan resort berdekatan bagi melihat monyet belanda dan kawasan sekitar resort. Setibanya kami disana, mata saya mencari-cari kelibat monyet yang sukar-sukar dijumpai di semenajung Malaysia. Namun hasrat saya itu tidak berhasil kerana difahamkan monyet belanda sangat pemalu dan mengelakkan diri dari bertemu manusia. Adik Pak Zabidi yang mengambil jala di belakang lori dan menebarkan jalanya di tepi sungai. Hasil yang diperoleh agak memuaskan dimana terdapt beberapa ekor udang galah terperangkap di dalam jala tersebut. Sungai Weston memang kaya dengan udang galah dan hasil laut yang lain. Nelayan kebanyakkannya menangkap udang di kawasan muara tersebut. Hasil dijual kepada orang tengah dan dipasarkan ke seluruh pekan Beufort malah sampai ke Kota Kinabalu. Terdapat pelancong yang datang ke Weston untuk menduga udang di kawasan tersebut. Aktiviti memancing turut dijalankan dan menjadi hobi penduduk tempatan. Kawasan tepian sungai tersebut turut menjadi habitat kunang-kunang yang tinggal di pokok-pokok bakau di tepian sungai.

Setelah puas mengutip udang yang dijala, kami meneruskan perjalanan ke pekan Weston dimana aktiviti gotong-royong bersama penduduk kampung akan dijalankan. Walau bagaimanapun, aktiviti itu dibatalkan disebabkan terdapat masalah-masalah yang tak dapat dielakkan. Masa yang terluang digunakan oleh kami bagi menyelesaikan tugasan pengumpulan data. Saya yang sudah selesai dengan tugasan tersebut mengikut pelawaan pensyarah untuk menaiki bot mengelilingi sungai Weston dan melihat kawasan persisiran sungai. Pelawaan tersebut tidak dilepaskan, saya dan rakan-rakan menuju ke jeti dan menunggu giliran unuk menaiki bot. Sementara menunggu giliran, saya singgah ke rumah seorang wanita yang sedang membersihkan ikan untuk dijadikan sebagai ikan kering. Rumahnya yang terletak diatas air menarik perhatian saya. Setelah puas beramah mesra, saya kembali ke jeti untuk menaiki bot.

Perasaan gementar memang terasa apabila ini merupakan kali pertama saya menaiki bot tambahan pula tiada jaket keselamatan yang disediakan. Walau bagaimanapun, perasaan tersebut hilang setelah melihat persisiran tepian sungai yang dipenuhi pokok nipah dan bakau. Kelihatan nelayan sedang khusyuk melepaskan jaring ke dasar sungai bagi menangkap udang. Menurut pemandu bot, ketika waktu malam, pokok bakau akan dipenuhi dengan kunang-kunang. Selain monyet belanda, kunang-kunang turut menjadi tarikan para pelancong dalam dan luar negara. Ketika sibuk penungkah arus, mata saya tertumpu kearah dahan bakau dimana kelihatan seekor monyet belanda sedang bergayut. Setelah mendengar deruan enjin bot, monyet tersebut terus melarikan diri seperti mana kata Pak Zabidi bahawa monyet belanda merupakan haiwan yang pemalu. Selain itu, sungai tersebut turut menjadi habitat buaya.

Setelah puas menjelajah sungai Weston, saya dan rakan pulang ke rumah keluarga angkat untuk melakukan persiapan pulang ke kolej. Sebelum saya dan rakan pergi mengemas barang-barang untuk pulang, kami sempat menunggang beca kepunyaan anak Pak Zabidi mengelilingi kampung. Perkara melucukan terjadi apabila beca yang ditunggang oleh rakan hilang kawalan menyebabkan kami terjatuh ke dalam paya. Itu merupakan pengalaman lucu yang tidak dapat dilupakan oleh saya dan rakan. Makan tengahari kami pada hari itu sangat istimewa kerana kami dijamu dengan sambal udang galah yang dijala pada pagi tadi. Sangat sedap apabila menjamu udang yang segar ditangkap di sungai.
Setelah barang-barang selesai dikemas, saya dan rakan pergi berjumpa dengan Pak Zabidi sekeluarga dan saling salam bersalaman tanda perpisahan. Perasaan sebak dan terharu bermain di dalam perasaan. Keluarga Pak Zabini menemani kami ke tempat berkumpul dan setibanya kami ke situ, kelihatan keluarga angkat yang lain telah berkumpul bersama anak angkat masing-masing. Hujan turun seperti tidak merestui perpisahan kami. Walaubagaimanapun, setiap yang bertemu tetap akan beerpisah. Kami berkumpul dan bergambar bersama keluarga angkat masing-masing. Setelah selesai, kami bertolak ke bas masing-masing dan destinasi seterusnya ialah Sipitang dimana popular dengan satenya yang sedap.

Setibanya di Sipitang, kami menuju ke gerai-gerai di tepian laut yang menjual sate. Kawasan Sipitang agak membangun seperti kawasan Beufort. Kelihatan beberapa buah kapal kargo berlabuh di kawasan perairan kawasan Sipitang. Setelah selesai menjamu selera di gerai berdekatan, kami meneruskan perjalanan di dataran berhampiran laut untuk bergambar sebagai kenang kenangan. Kawasan perairan kelihatan agak tercemar mungkin disebabkan oleh aktiviti perkapalan dan pengaliran air kumbahan ke laut. Dapat dilihat beberapa paip atau saliran yang mengalirkan air tercemar dari Bandar berdekatan ke dalam laut. Keadaan ini sepatutnya tidak berlaku kerana kawasan tersebut merupakan kawasan tumpuan pelancong.

Setelah puas bergambar, kami meneruskan perjalanan pulang. Suasana hujan mengiringi perjalanan kami. Walau pun agak keletihan, perasaan gembira tetap kelihatan di wajah kami berpeluang mengikuti program ini. Disamping menjalankan proses pengumpulan data, kami turut dapat beramah mesra bersama penduduk kampung terutama keluarga angkat yang tidak henti-henti membantu kami dalam proses mendapatkan data. Terasa tempoh masa dua hari satu malam bersama keluarga angkat tidak mencukupi kerana terdapat pelbagai tempat yang menarik di sekitar kawasan Weston tidak dapat dijelajahi. Walau bagaimanapun, data yang dikumpul diharapkan dapat menjadi titik tolak kepada pembanggunan kawasan Weston yang kaya dengan sejarah dan eko pelancongannya yang tersendiri. Memang tidak dinafikan, kawasan Weston merupakan kawasan yang mempunyai pelbagai tarikan pelancongan. Walau bagaimanapun, peluang atau tarikan tersebut tidak di kormesilkan ke peringkat luar. Diharapkan pihak kerajaan dapat membantu penduduk tempatan mengkormesilkan kawasan Weston sebagai lokasi pelancongn yang popular seperti kawasan pelancongan yang lain di Sabah disamping dapat membangunkan ekonomi Weston dan memajukan kawasan tersebut.


UNTUK TEMPAHAN HOMESTAY, SILA HUBUNGI : 013-8859086

1 ulasan:

  1. Alhamdulillah dan terima kasih kerana berada di weston .....waktu program itu saya lah yang jadi tok penghulunta

    BalasPadam