CARI TAJUK

Jumaat, 28 September 2012

APA ITU PENGURUSAN BIOSFERA??

       APA ITU PENGURUSAN BIOSFERA??  

       Pengurusan biosfera merupakan salah satu keperluan dalam menjaga dan memulihara alam sekitar. Menurut Alim (2004) dalam penulisannya yang bertajuk Skop Standard Antarabangsa Perdagangan Ikan Terumbu Karang Hidup Untuk Dimakan, beliau menyatakan bahawa pengurusan penggunaan biosfera oleh manusia adalah perlu agar ia boleh memberikan faedah kemapanan terbaik kepada generasi pada masa kini, dalam masa yang sama mengekalkan potensinya untuk memenuhi keperluan dan aspirasi generasi masa depan. Beliau juga menegaskan bahawa dengan mengaplikasikan pengurusan biosfera, pemuliharaan alam sekitar  adalah positif dimana ia merangkumi pemeliharaan, penyelenggaraan, kemapanan penggunaan, pemulihan, dan peningkatan persekitaran semula jadi. Penggunaan dan pengurusan alam dan sumber semula jadi yang bijaksana dapat membantu kepentingan manusia dan keseimbangan biosfera. Menurut  Rizal Razman (2010) dalam penulisanya yang berjudul Kawalan Pencemaran Sungai dalam Melindungi Ekologi dan Habitat Manusia: Tinjauan Perundangan di Malaysia, beliau menyatakan bahawa masalah pencemaran biosfera yang berlaku akibat kepesatan proses perbandaran dan pembanggunan infrastruktur telah menyebabkan pihak berkuasa memperkenalkan mekanisma pengurusan alam sekitar menerusi kaedah perundangan. Kaedah ini diperkenalkan bertujuan bagi memelihara ekologi  dan kualiti alam sekitar. Pengurusan persekitaran terhadap ekologi dan alam melalui undang-undang boleh dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu pengurusan persekitaran melalui undang-undang awam yang berperanan mengawal selia hubungan sesebuah negara dengan seseorang atau sekumpulan individu seperti Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974, Akta Kerajaan Tempatan, 1976 serta Akta Jalan, Parit dan Bangunan, 1974. Manakala bahagian kedua adalah melalui undang-undang persendirian iaitu undang-undang yang berperanan mengawal selia hubungan seorang atau sekumpulan individu dengan individu yang lain seperti Undang-Undang Kontrak dan Tort. Ketiga pula, berdasarkan kepada undang-undang antarabangsa yang berperanan mengawal selia hubungan di antara sesebuah negara dengan sesebuah negara yang lain (Muhammad Rizal & Syahirah 2001). Di Sabah pula, sistem pengurusan alam sekitar dan biosfera berlainan dengan yang lain dimana pengurusan biosfera yang popular di Sabah adalah melalui sistem tagal. Ia juga dikenali sebagai bombon yang bermaksud jangan dalam bahasa Kadazandusun. Melalui sistem ini, penggunaan sumber semulajadi atau kawasan tertentu dihadkan bagi tujuan pemuliharaan dan bagi memastikan kewujudan sumber tersebut secara berterusan (Jurry Foo: 2011).


RUJUKAN

 MUHAMMAD RIZAL RAZMAN, Kawalan Pencemaran Sungai dalam Melindungi Ekologi dan Habitat Manusia: Tinjauan Perundangan di Malaysia, Sari - International Journal of the Malay World and Civilisation 28(1) (2010): 227-240

Jurry Foo@ Jurry bt. F. Michael, Sistem tagal dalam industri pelancongan: Manfaat kepada Komuniti, Program Geografi, Sekolah Sains Sosial, Universiti Malaysia Sabah, GEOGRAFIA OnlineTM Malaysian Journal of Society and Space 7 issue 1 (14 - 25) © 2011, ISSN 2180-2491

Alim, Standard Antarabangsa Untuk Perdagangan Ikan Terumbu Karang Hidup Untuk Dimakan, 2004

Tiada ulasan:

Catat Ulasan